ADIK AIMAR GEMAR SUKAN LAWAN PEDANG

Like

 

Mungkin ramai yang melihat sukan lawan pedang hanyalah sekadar permainan menghayunkan pedang di sebalik topeng muka, namun tahukah anda bahawa sukan ini sebenarnya memerlukan kepantasan dalam berfikir, di samping ketangkasan dalam pergerakan.  Itulah sukan lawan pedang. Ia merupakan sejenis sukan yang memerlukan koordinasi antara ketajaman berfikir, kepantasan pergerakan serta serangan dan pertahanan yang pantas seumpama kilat.
Adik Aimar Zufayri bin Zulfadli dari kelas 5 Melati merupakan satu-satunya atlet yang menggemari dan bergiat aktif dalam sukan lawan pedang di SK Kampung Tunku. Beliau telah mula menunjukkan minat dalam sukan lawan pedang sejak berumur 8 tahun.  Minat itu timbul apabila beliau suka menonton filem Star Wars dan rasa teruja dengan watak Jedi dalam filem tersebut yang tangkas menggunakan pedang cahaya sebagai alat mempertahankan diri.

 

Melihat minatnya itu, ibu bapa adik Aimar telah mula memberi inspirasi kepadanya dengan membeli permainan pedang cahaya, membawanya melihat atlet lawan pedang berlatih dan melayari maklumat mengenai sukan ini melalui internet.  Setelah 2 tahun barulah adik Aimar benar-benar bersedia secara mental dan fizikal untuk melibatkan diri dalam sukan ini.  Ibu bapa beliau telah memberi sokongan serta galakan yang kuat dengan mendaftarkan adik Aimar menyertai Touche Fencing Club di Petaling Jaya untuk sesi percubaan.

 

 

Selepas adik Aimar mula berasa selesa, dia telah ditukarkan ke kelab yang lebih intensif iaitu GA Fencing Club di SK Taman Tun (1).  Latihan dijalankan 2 kali seminggu selama 2 jam setengah untuk setiap kelas.  Selepas 4 bulan berada di dalam beginner’s class mendalami teori & latihan sukan fencing, Aimar berjaya di dalam ujian grading untuk kategori foil (jenis pedang) dan layak untuk mula memasuki pertandingan lawan pedang. Antara pertandingan lawan pedang yang Aimar telah sertai :

 

  1. Touche Grand Finals 2016 – pingat gangsa untuk kategori 10 tahun ke bawah
  2. Malaysian Fencing Federation Grand Prix 3 – penyertaan untuk kategori bawah 12 tahun
  3. Y Sparks International Fencing Cup 2016 Singapore – penyertaan untuk kategori bawah 10 tahun
  4. Touche Junior Circuit 1/2017 – pingat perak untuk kategori 11 tahun ke bawah

 

Sukan fencing sesuai untuk mereka yang berumur dari 7 tahun ke atas tanpa mengira saiz fizikal seseorang.  Apa yang penting, sukan ini memerlukan disiplin & kekuatan fizikal yang tinggi kerana daripada cara mengenakan pakaiannya (fencing suit) yang sangat rumit sehinggalah ke jenis pedang yang berbeza  dan peraturan-peraturan serta strategi yang berlainan untuk setiap pedang, sukan ini memerlukan tahap konsentrasi dan disiplin atlet yang tinggi.

 

Adik Aimar berjaya memasuki peringkat suku akhir melawan pemain Singapura di Y Sparks International Fencing Cup 2016

 

Seorang atlet lawan pedang atau fencer perlulah bersedia dari segi mental untuk mempelajari teknik-teknik fencing dan ketahanan fizikal untuk menjalani latihan-latihan fencing. Walaupun Aimar bersaiz kecil berbanding dengan atlet lawan pedang yang lain tetapi dengan adanya minat dan sifat ingin belajar, Alhamdulillah dia dapat mengikuti latihan dengan baik.

 

 

Adik Aimar bercita-cita untuk mewakili negara & bergelar juara di peringkat antarabangsa suata masa kelak. Walaupun tampak masih jauh tetapi ianya bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dicapai. Berkat usaha dan juga ketekunan latihan serta sokongan dari keluarga dan pihak sekolah, adik Aimar akan terus berjaya dalam sukan yang diminati dan semoga suatu hari nanti dapat mencapai hasrat beliau untuk mengharumkan nama Negara di peringkat antarabangsa.

Like
One Comment

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *