HARI SUKAN SK KAMPUNG TUNKU MERIAH

Like
4

HARI SUKAN SK KAMPUNG TUNKU MERIAH

April 2017 – Kejohanan Sukan Tahunan SKKT yang telah berlangsung dengan meriah pada 23 April yang lalu. Semua murid dari prasekolah, tahun 1 hingga tahun 6 hadir bersama keluarga mereka yang datang seawal pukul 7 pagi untuk menyaksikan acara perbarisan di padang sekolah SKKT. YDP PIBG, Encik Wan Huzaini bin Wan Hussin telah hadir untuk merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan SKKT tahun ini disaksikan oleh Guru Besar SKKT, Encik Khairul Anuar bin Abdul Azid dan semua Penolong Kanan.
Pada pagi itu, acara telah dimulakan dengan perbarisan kontinjen rumah sukan dan juga perbarisan kontinjen unit beruniform seperti Tunas Puteri, Puteri Islam, Pengakap dan TKRS. Perbarisan masuk kontinjen diketuai oleh Zarif Qayyum b. Zahrizal selaku ketua kontinjen yang juga telah mengetuai bacaan ikrar pada pagi itu. 4 orang pelajar tahun 6 telah diberi tanggungjawab sebagai pembawa bendera di belakang ketua kontinjen. Mereka termasuklah Syahir Ariff bin Razak, pembawa bendera Malaysia, Sophie Ain bt Azlan yang membawa bendera Selangor, Maisarah bt Mohd Akta, pembawa bendera sekolah dan Muhammad Fakhrul Syakirin bin Fadzil sebagai pembawa bendera Kejohanan Sukan Sekolah manakala Ahmad Harith Safuan b. Ahmad Mazrullah telah mengetuai bacaan doa.

Semua kontinjen rumah sukan telah menggayakan pakaian kontinjen masing-masing mengikut tema tahun ini iaitu minyak dan gas. Ada yang mengenakan pakaian bercirikan warna logo syarikat minyak tempatan dan juga antarabangsa seperti Shell, Petronas, Caltex dan Petron. Rumah Kuning telah diumumkan johan bagi perbarisan rumah sukan diikuti oleh rumah Hijau, Merah dan Biru. Bagi perbarisan unit beruniform pula, johan perbarisan dimenangi oleh kontinjen Puteri Islam, diikuti oleh kontinjen TKRS seterusnya Pengakap dan Pandu Puteri.

Khemah rumah sukan juga dihiaskan dengan pelbagai hiasan mengikut tema tahun ini. Guru-guru serta murid-murid telah membuat perancangan dan persiapan hampir seminggu sebelum berlangsung hari sukan untuk merebut piala hiasan khemah terbaik tahun ini. Rumah Hijau telah diumumkan sebagai johan untuk hiasan khemah rumah sukan terbaik manakala rumah Merah sebagai naib johan diikuti dengan rumah Kuning dan Biru.

Ramai ibu bapa dan kaum keluarga yang hadir untuk memberi sokongan kepada anak-anak yang menyertai acara terutamanya acara sukaneka bagi murid-murid tahap 1. Khemah penyokong disediakan di sepanjang astaka bagi memberi lebih keselesaan kepada semua yang hadir. Pelbagai gerai yang menjual makanan, buku, baju-T, permainan, aiskrim, minuman dan lain-lain turut dibuka serta mendapat sambutan yang amat baik.

 

Banyak acara padang berlangsung pada hari tersebut dan di antara acara yang mendapat sorakan dan sokongan penonton adalah acara lari 100m, 200m, 400m dan lari berganti 4x100m. Acara kemuncak pada hari tersebut adalah acara tarik tali antara pasukan guru melawan pasukan bapa yang menyaksikan pasukan guru berjaya mengekalkan kemenangan tahun ini dengan mata 3-0.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua murid yang telah diumumkan sebagai olahragawan dan olahragawati sekolah dan juga juara pasukan rumah sukan berdasarkan jumlah mata keseluruhan. Tahniah juga diucapkan kepada semua guru yang telah memberi komitmen penuh dalam menjayakan Kejohanan Sukan Tahunan SKKT tahun 2017 ini.
Johan Keseluruhan – Rumah Kuning
Naib Johan – Rumah Merah
Tempat Ketiga – Rumah Biru
Tempat Keempat – Rumah Hijau
Olahragawan – Mohd Adlan
Olahragawati – Sophie Ain bt Azlan
Tunas Olahragawan – Muhd Harith Safwan
Tunas Olahragwati – Rasyadaneiya
Olahragawan Harapan – Adam Hazami
Olahragawati Harapan -Reanna Wafeeqa

Like
4
One Comment

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *