PAWANA TARI TERUS MENGHARUMKAN NAMA SEKOLAH

Like
6

PAWANA TARI TERUS MENGHARUMKAN NAMA SEKOLAH

23 Mei – Pawana Tari yang ditubuhkan pada tahun 2015 di bawah kelolaan Puan Azna Ariffin selaku guru pembimbing pasukan seni tari SKKT yang dibantu oleh Puan Rozilawati, Cik Nadiyah dan En. Azhir. Mula aktif membuat persembahan dan menyertai pertandingan sejak 2 tahun yang lalu.  PawanaTari dianggotai oleh 6 orang murid lelaki dan 7 orang murid perempuan yang berumur antara 10 hingga 12 tahun yang mempunyai bakat besar dalam bidang tarian.  Mereka diberi tunjuk ajar oleh guru tari khas, En. Mohd Hazlami Harun serta dibantu oleh Cik Farahein Omar bagi meningkatkan kemahiran teknik tarian dalam pelbagai genre termasuklah Joget, Zapin, Inang, Tarian Tradisional Jawa, Kreasi, Samrah dan Irama Malaysia.

 

Pencapaian Cemerlang

Pawana Tari mula menempa nama pada tahun 2015 setelah mendapat anugerah Kumpulan Harapan dalam pertandingan Festari anjuran MBPJ. Setelah itu, bermulalah rutin Pawana Tari mendapat jemputan persembahan di sekitar Petaling Utama.

 

Seterusnya, pada tahun 2016, Pawana Tari sekali lagi mengukir kejayaan yang membanggakan apabila telah mendapat tempat ke-3 serta memenangi Anugerah Kostum Terbaik Festari MBPJ 2016. Kejayaan demi kejayaan diukir antaranya menerusi pertandingan Main Zapin anjuran Aswara Malaysia di peringkat kebangsaan. Pawana Tari berjaya meraih tempat ke-4 sekaligus mengalahkan beberapa lagi peserta lain yang terdiri daripada murid sekolah seni dan sekolah menengah yang menyertai pertandingan tersebut.

 

Sepanjang tahun 2017, Pawana Tari telah menyertai pelbagai pertandingan tarian. Antara penyertaan dan kejayaan yang diraih kumpulan ini ialah Festari MBPJ 2017 di mana mereka muncul sebagai Juara dengan mempersembahkan tarian joget dan zapin selat panjang. Selain itu, mereka juga telah berjaya meraih Anugerah Busana Terbaik. Habuan yang diterima berupa piala kejuaraan beserta wang tunai dan hadiah iringan. Penyertaan mereka dalam pertandingan Festaka UM 2017 pula, mereka berjaya mendapat tempat ketiga mengalahkan kumpulan tarian lain yang jauh lebih “senior” dan professional daripada mereka.  Manakala di Malaysian Floor Pattern Sport Dance Competition yang diadakan di Istana Budaya pula, mereka telah bertanding dengan kumpulan-kumpulan tarian daripada pelbagai peringkat umur dan negeri di seluruh Malaysia.  Dalam pertandingan yang diadakan pada 26 – 29 April 2017 itu, mereka telah berjaya melayakkan diri sehingga ke peringkat separuh akhir dengan mempersembahkan tarian zapin dan joget kreasi baru.

 

Kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh kumpulan ini adalah berkat usaha gigih semua penari, komitmen, bimbingan dan tunjuk ajar para guru tari serta sokongan padu daripada ibu bapa juga keluarga penari-penari cilik ini.

 

Resepi Kejayaan

Gerak tari yang baik memerlukan sentuhan seni untuk menghasilkan gerak yang indah berpandukan pengolahan yang baik.  Oleh itu, Pawana Tari telah menghadiri Bengkel Akar Tari anjuran MBPJ yang telah diadakan di Port Dickson pada 8-11 Mac 2017 yang lalu dan juga Bengkel Zapin anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Universiti Malaya pada 13 Mei 2017 untuk mempertingkatkan lagi mutu persembahan mereka. Penari-penari Pawana Tari telah dinobatkan sebagai penari terbaik dalam bengkel tersebut, di mana penari lelaki Mohd Adam Shafy dianugerahkan Penari Lelaki Terbaik dan Aliya Majid sebagai Penari Perempuan Terbaik. Menurut Pn. Azna,  beliau berasa bertuah dan berbangga kerana Bengkel Akar Tari anjuran MBPJ adalah bengkel tertutup dan hanya dapat disertai oleh kumpulan tarian terpilih sahaja. Kelayakan Pawana Tari menyertai bengkel tersebut adalah satu tanda yang kumpulan tarian SKKT ini telah mula dikenali dan diiktiraf pencapaian dan kebolehannya.

 

Kumpulan ini adalah sebuah kumpulan yang berpegang teguh kepada komitmen dan kerjasama dalam pasukan sebagai prinsip utama mereka dalam memburu kejayaan.  Mereka sanggup berlatih sehingga jam 12.30 tengah malam di mana ibu bapa pula berkorban masa juga tenaga membantu menjahit aksesori dan busana yang perlu dipakai dalam sesebuah persembahan.  Latihan yang memakan masa antara 8 hingga 9 jam sehari selama seminggu sebelum pertandingan menjadi rutin bagi murid-murid ini. Walaubagaimana aktif sekalipun di pentas tarian, murid-murid ini tidak sama sekali mengabaikan pelajaran mereka.   Pendidikan masih menjadi keutamaan dan amat dititikberatkan oleh semua guru, murid serta keluarga mereka.

Berbakat besar

Bakat besar dan persembahan yang menarik setiap kali di atas pentas yang dipamerkan oleh kumpulan Pawana Tari telah membuka laluan kepada mereka untuk dijemput membuat persembahan pembukaan dan juga ketika separuh masa perlawanan bola sepak Piala Dato’ Mokhtar Dahari di hadapan DYMM Raja Muda Selangor pada 2 Mei 2017. Sekali lagi Pawana Tari telah dijemput membuat persembahan pembukaan di Majlis Penutupan Piala Dato’ Mokhtar Dahari di hadapan DYMM Raja Muda Selangor pada 20 Mei 2017 yang lalu. Ini merupakan satu lagi tanda pengiktirafan kepada bakat besar yang ada dalam diri mereka sehingga diberi kepercayaan membuat persembahan di hadapan DYMM Raja Muda Selangor.

 

Selain itu, Pawana Tari juga dijemput khas untuk membuat persembahan di majlis resepsi perkahwinan anak Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Petaling Utama pada 11 Februari 2017 di UiTM Shah Alam. Pada bulan ini pula,  Pawana Tari telah berjaya menaikkan lagi namanya dan mengharumkan nama SK Kampung Tunku apabila dijemput oleh RTM untuk membuat persembahan di studio untuk program Selamat Pagi Malaysia yang telah bersiaran secara langsung pada20 Mei 2017 pada pukul 8.00 pagi.  Ini adalah satu pengiktirafan kepada anak-anak kecil yang penuh bakat ini atas usaha dan pencapaian yang telah mereka tunjukkan selama ini.

 

Sebahagian daripada penari Pawana Tari bukan sahaja aktif dalam tarian malah ada yang juga aktif dalam pelbagai jenis sukan dan permainan.  Sarah Raina Queennisa ketika ditemui berkata, selain daripada minat yang besar dalam tarian tradisional, dia juga merupakan seorang atlet memanah sekolah, aktif sebagai pemain bola baling serta merupakan seorang atlet sekolah yang mewakili daerah Petaling Utama di dalam beberapa acara lain.

Selain itu, penari Zarif Qayyum dan Mohd Adam Shafy dari tahun 6 juga sangat aktif dalam bidang kokurikulum selain tarian.  Mereka merupakan wakil sekolah ke peringkat MSSD dalam bidang bola sepak, sepak takraw, olah raga dan lain-lain serta merupakan Tunas Kadet Remaja Sekolah berpangkat Koperal.

 

 

 

 

Cabaran dan Harapan

Tiada kejayaan yang akan datang bergolek.  Dalam usaha menempa nama di peringkat yang lebih tinggi, Pawana Tari menghadapi kekangan dari pelbagai segi termasuklah kos latihan dan juga busana untuk setiap persembahan.  Selain itu, kumpulan ini yang hampir separuh terdiri daripada murid tahun 6 akan kehilangan beberapa orang penari berbakat besar apabila mereka melangkah ke sekolah menengah pada tahun hadapan.  Usaha mencari penari pelapis dalam kalangan murid tahun 3 dan 4 giat dijalankan oleh pihak sekolah dan menurut Puan Azna, beliau amat mengalu-alukan mana-mana ibu bapa yang berminat untuk menghantar anak mereka menyertai PawanaTari. Beliau juga berharap, Pawana Tari akan berjaya menempa nama di peringkat yang lebih tinggi termasuklah membuat persembahan di peringkat antarabangsa agar bakat mereka dapat terus digilap.

 

Pihak sekolah dan seluruh warga SKKT mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penari Pawana Tari, ahli keluarga mereka yang tidak jemu memberi sokongan, membantu dari segi tenaga, masa dan wang ringgit, serta guru-guru tari dan guru pembimbing yang tidak jemu membimbing kumpulan tarian ini.  Kita percaya, bakat besar yang dipamerkan oleh penari-penari cilik ini akan terus mengharumkan nama SK Kampung Tunku pada masa akan datang.

Like
6

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *