RAMADAN “FOOD KIT” 2017 MEMBANTU MERINGANKAN BEBAN 150 KELUARGA SK KAMPUNG TUNKU

Like
3

Ramadan Kareem.

 

PIBG SK Kampung Tunku (SKKT) dengan kerjasama Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) SKKT telah menganjurkan satu program bantuan makanan Ramadan “Food Kit” (RFK). Program ini dianjurkan untuk membantu meringankan beban keluarga murid SKKT sambil memberi peluang kepada masyarakat untuk bersedekah dan beramal di bulan Ramadan.

 

Program Ramadan “Food Kit” yang julung-julung kali dianjurkan oleh PIBG SKKT adalah program serahan bantuan barangan makanan seperti beras, tepung, gula, susu, minyak, kicap, bawang, ubi dan sebagainya, telah dikumpul untuk diserahkan kepada keluarga murid SKKT.  Berdasarkan rekod sekolah, penerima muslim yang berpendapatan isirumah kurang daripada RM3000 sebulan dan mempunyai anak yang bersekolah di SKKT telah dipilih oleh PIBG untuk menerima bantuan Ramadan Food Kit ini. Seramai 150 keluarga penerima yang terdiri dari 23 orang yatim, 4 orang OKU, 11 orang ibu tunggal, dan selebihnya keluarga asnaf fakir dan miskin telah menerima bantuan tersebut. Tidak dilupakan juga keluarga bukan Islam, 5 keluarga terpilih yang memerlukan bantuan juga diberi bantuan RFK.

 

Pada peringkat awal perancangan, PIBG mensasarkan untuk memberi bantuan makanan bernilai RM50 kepada 50 keluarga.  Alhamdulillah berkat usaha semua pihak, program ini telah berjaya mengumpul lebihan kutipan sumbangan wang yang membolehkan jumlah penerima meningkat kepada seramai 150 keluarga dengan nilai barangan juga turut meningkat daripada RM50 kepada RM100 setiap keluarga.

Ramai penderma dan penyumbang di kalangan individu dan syarikat korporat telah tampil untuk membantu sambil beramal di bulan Ramadan yang penuh barakah ini.  Selain daripada wang tunai, penderma juga telah menaja barangan makanan. “Kami berterima kasih kepada Fonterra yang menaja susu tepung, sosej sejuk beku yang telah kami terima dari PrimaBaguz, 600 botol kicap sumbangan Brahims dan MISC pula telah menyumbangkan baju-t sebanyak 200 helai. Semua barangan ini telah diedarkan sepenuhnya dan kami amat berterima kasih kepada semua penyumbang; orang perseorangan dan juga syarikat-syarikat korporat yang turut serta menjayakan program ini. Jutaan terima kasih juga kepada semua sukarelawan yang bekerja keras membantu dari segi tenaga, masa dan wang ringgit untuk merealisasikan program RFK 2017 ini. Syukur Alhamdulillah dan TERIMA KASIH semua.  ” ujar YDP PIBG En Wan Huzaini Wan Hussin.

Majlis serahan pertama telah diadakan pada 10 Jun 2017 (Sabtu) di dewan sekolah yang telah dirasmikan dan disaksikan bersama YDP SKKT, En Wan Huzaini Wan Hussin,  Guru Besar, En Khairul Anuar serta En Mohd Zainuddin Mohd Zain, wakil PPD Petaling Utama yang turut hadir.  Serahan fasa kedua pula diadakan pada 18 Jun 2017 (Ahad).   Seramai 50 orang sukarelawan yang terdiri dari orang dewasa dan kanak-kanak telah tampil untuk membantu menjayakan kedua-dua majlis serahan tersebut.  Selain daripada membantu untuk membeli barangan keperluan, kerja-kerja menyusun, membungkus, mengangkat, dan sebagainya dilakukan sepenuhnya oleh anggota sukarelawan ini.  Mereka juga menyediakan secara percuma, perkhidmatan penghantaran kotak RFK terus ke rumah penerima yang memerlukan bantuan fisikal dan/atau hadir tanpa kenderaan sendiri.

Selain daripada membantu meringankan sedikit bebanan penerima, program ini telah berjaya mengeratkan hubungan silaturrahim di antara pihak sekolah, PIBG, KSIB, penyumbang serta masyarakat setempat. Program ini juga diharapkan dapat memberi pendedahan dan mendidik anak-anak kecil dan remaja untuk terlibat secara langsung di dalam akvitivi kemasyarakatan. Semoga sedekah dan segala usaha yang telah diberikan dalam menjayakan program ini diberkati dan dirahmati Allah dan diharap program murni sebegini akan dapat diteruskan untuk tahun yang akan datang.

“Sedekah yang paling utama adalah sedekah di bulan Ramadan”

Hadith Riwayat at Tirmizi

 

ALHAMDULILLAH, SYUKUR DAN TERIMA KASIH

Like
3

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *